Bismillahirrahmanirrahim.....
Sejarah percintaan baginda Nabi Muhammad saw dengan Siti Khadijah telah banyak memberikan inspirasi kepada umatnya. Saya sendiri sering mengambil contoh kisah percintaan baginda sebagai panduan dalam bercinta dan memilih bakal isteri.
Dengan mengikuti, memahami dan menghayati kisah cinta baginda, kita dapat pelajari banyak perkara yang akan menjadi sumber kekuatan kita dalam melayari hidup sebagai hamba-Nya. Antara pengajaran besar yang dapat kita pelajari ialah:
- Bagaimana Siti Khadijah menjaga maruah diri dan memartabatkan dirinya dengan menjadi usahawan yang berjaya. Gambaran ini jelas menunjukkan bahawa wanita seharusnya berusaha menjadi insan yang dihormati dan berjaya dalam kehidupannya. Siti Khadijah tidak bergantung kepada orang lain untuk mendokong dirinya tetapi kepada perniagaan yang dibinanya sendiri. Selain itu beliau juga membantu ramai pedangan-pedangan lain untuk turut sama mencari rezeki.
- Meskipun Siti Khadijah seorang yang baik hati dan rupawan, beliau juga pernah diceraikan suaminya. Kenapa Allah memilih wanita bergelar janda ini sebagai isteri kepada manusia no.1 paling hebat di dunia dan akhirat? Tentulah ada hikmah disebaliknya. Ramai janda yang merasa hina dan malu dengan statusnya tetapi Allah telah lama memuliakan mereka dengan kisah percintaan dua insan hebat ini. Asal saja berhati mulia dan taat kepada-Nya, gelaran janda bukanlah satu bebanan untuk para wanita merasa hina.
- Jika seandainya wanita hari ini punyai rupa, harta dan kekuatan pada bangsanya maka Siti Khadijah terlebih dahulu memiliki semua itu. Beliau sering dilamar oleh pembesar Quraisy yang sanggup membayar berapa pun mas kahwin yang diminta tetapi Khadijah menolaknya dengan halus dan baik. Beliau bukan seorang yang gilakan harta.
- Siti Khadijah melamar Rasulullah. Sejarah ini sering dijadikan hujah oleh para ulama dan ustaz yang ingin memperbetulkan kesalahan tanggapan masyarakat yang menyatakan wanita tidak boleh melamar lelaki. Seperti kata peribahasa melayu ‘Mustahil perigi mencari timba!’. Hal ini tidak benar. Jika kamu menemui seorang lelaki yang soleh dan terbuka hati untuk mempersuamikannya, maka segeralah melamarnya sebelum terlewat.
- Rasulullah tidak berharta tetapi berakhlak mulia, amanah, taat dan punyai kehormatan diri yang tinggi. Sejarah ini menggambarkan kepada kita bahawa tidak semestinya lelaki yang tidak berharta itu hina berbanding lelaki kaya. Mulia pada hakikat sebenar terletak pada akhlak dan agama seseorang. Namun itu bukan bermaksud lelaki perlu menjadi miskin untuk menjadi semulia Rasulullah. Kita perlu berusaha, dan rezeki itu ditangan Allah.
- Rasulullah menerima lamaran dari Siti Khadijah yang berusia 15 tahun lebih tua berbanding baginda. Ketika melamar Rasulullah, Siti Khadijah telah pun berusia 40 tahun. Walau bagaimanapun, Siti Khadijah bukanlah wanita berusia 40 tahun sepertimana yang kita dapat gambarkan sekarang. Usianya tidak menghalang beliau untuk tampil dengan wajah dan bentuk badan yang cantik. Tidak seperti wanita sekarang yang tidak menjaga kecantikan sendiri dengan baik setelah usia semakin meningkat. Gambaran ini jelas menunjukkan bahawa umur bukanlah penghalang untuk wanita yang lebih tua berkahwin dengan lelaki yang lebih muda darinya.
0 comments:
Post a Comment